Fahmi saran organisasi media manfaat sepenuhnya teknologi AI

Bernama
Ogos 6, 2024 18:37 MYT
Fahmi bagaimanapun menegaskan AI tidak dapat menggantikan peranan manusia namun mampu membantu mengurangkan bebanan kerja harian. - Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyarankan organisasi media agar memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mempercepat penyediaan laporan berita.
Beliau berkata ketika ini, banyak hasil AI terutama AI Generatif (GenAI) dapat disiarkan dalam format audio visual.
"Apa yang saya ingin kita teroka ialah mungkin ada yang boleh dimanfaatkan oleh AI dan GenAI untuk membantu, contohnya Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) bagi meneliti data atau jumlah yang banyak supaya kerja-kerja tertentu oleh seorang individu difokuskan kepada beberapa perkara.
"AI mungkin boleh cerakinkan, mudahkan, kumpulkan, kategorikan data, bagi membantu dalam aspek itu," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi bagaimanapun menegaskan AI tidak dapat menggantikan peranan manusia namun mampu membantu mengurangkan bebanan kerja harian.
"Semakin maju AI ini terutama GenAI. Saya tidak boleh tidak memikirkan kegusaran para editor, penulis skrip, illustrator adakah mereka merasakan bagaimana masa depan mereka?" katanya.
Beliau juga berharap kemajuan AI dapat dimanfaat untuk persembahan serta acara sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia pada 16 Sept di Sabah.
"Kementerian Komunikasi sebagai hos yang menguruskan acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ingin menyampaikan mesej jelas secara tersirat serta tersurat.
"Saya berharap agensi cuba mula fikirkan apa boleh dimanfaatkan dengan AI," katanya.
-- BERNAMA
#teknologi AI #kecerdasan buatan #organisasi media #Fahmi Fadzil
;