Fahmi pastikan rakyat Lembah Pantai terima bantuan, khususnya aspek pendidikan
Bernama
Oktober 20, 2024 23:54 MYT
Oktober 20, 2024 23:54 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan memastikan semua rakyat di kawasan Parlimen Lembah Pantai termasuk komuniti India mendapatkan bantuan sewajarnya terutama dalam aspek pendidikan.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata antara perkara yang akan dilakukannya ialah berusaha membantu meningkatkan bilangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bangsar dengan mendekati ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu.
"Saya akan berusaha membantu beberapa sekolah seperti SJKT Bangsar yang sekolah itu kurang murid. Kita akan bantu beberapa ibu bapa yang ingin menghantar anak ke sekolah itu tetapi mempunyai masalah membiayai kos untuk hantar anak mereka.
"Kita lihat, ada beberapa perkara untuk diusahakan bagi membantu sekolah terbabit. Kita juga akan lihat isu Internet, makmal komputer dan isu yang mungkin menyukarkan mereka untuk hadir ke sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Fiesta Deepavali di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasamy.
Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan baucar bernilai RM100 kepada hampir 1,000 penduduk kawasan itu bersempena dengan perayaan Deepavali yang akan disambut pada 31 Okt ini.
Mengenai Belanjawan 2025, Fahmi berkata beliau telah meminta Jabatan Penerangan supaya memudahkan penyampaian mesej khususnya dari sudut bahasa mengenai bantuan yang disediakan kerajaan kepada masyarakat.
"Isu utama adalah ramai yang tidak tahu macam mana nak mohon (bantuan). Kita akan usahakan menerusi jentera Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI untuk memudahkan bahasa mengenai semua bantuan yang disediakan melalui Belanjawan 2025.
"Yang penting apabila permohonan dibuka, Komuniti MADANI dapat sampaikan (maklumat) dan menjadi pusat rujukan supaya bila ada yang hadapi masalah dapat dibantu," katanya.
-- BERNAMA