Fahmi kecam tindakan Meta turunkan hantaran Anwar bertemu Hamas

Ridauddin Daud
Mei 15, 2024 15:46 MYT
PM Anwar membuat pertemuan dengan Ismail Haniyeh di Qatar pada Isnin dan mencetus pelbagai andaian lebih-lebih lagi ketika nama Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyaluran dana kepada Hamas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi mengecam tindakan syarikat induk Facebook, Meta Platforms yang menurunkan ‘posting’ syarikat media berkaitan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sayap politik Hamas.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, dua media melaporkan perkara itu kepada kementeriannya, dengan Meta memberi alasan status itu berkaitan sebuah organisasi yang Meta anggap berbahaya.
Menurutnya, selepas diteliti, alasan diberikan Meta tidak berasas kerana tiada aspek sebegitu dalam laporan media terbabit.
Bahkan, katanya, Meta juga telah menutup satu akaun media sosial milik Malaysia Gazette, menyebabkan mereka terpaksa membuka akaun baharu.
“Sebagai Menteri Komunikasi, saya kecam tindakan pihak Meta untuk menurunkan artikel atau posting daripada media.
“Apatah lagi kerana ini adalah pelaporan lawatan rasmi PM ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan.
“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) telah menghantar surat kepada pihak META untuk mendapatkan penjelasan.
“Saya juga akan susuli dengan bukan hanya kenyataan saya buat sekarang, tapi juga nanti surat daripada saya kepada Meta untuk meminta penjelasan,” katanya.
Tegasnya, perkara dilakukan Meta itu secara jelas menunjukkan mereka tidak menghormati kebebasan media dalam menggunakan platform mereka.
“Kita akan adakan pertemuan dengan platform media sosial pada Jun nanti.
“Dalam pertemuan itu nanti, saya akan bangkitkan isu tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di bangunan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Rabu.
PM Anwar membuat pertemuan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar pada Isnin dan mencetus pelbagai andaian lebih-lebih lagi ketika nama Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyaluran dana kepada Hamas.
Pertemuan tertutup antara PM Anwar dan Haniyeh berlangsung lebih sejam ketika Anwar dalam misi lawatan rasmi ke Qatar.
#Fahmi Fadzil #Meta #militan #Perdana Menteri #MCMC
;