Fahmi jumpa pengendali platform media sosial di Singapura bulan depan

Bernama
Mei 26, 2024 08:15 MYT
Fahmi melawat pameran peralatan kamera lama melihat pada perasmian Pameran HAWANA 2024 sempena Hari Wartawan Nasional di Kuching, 25 Mei 2024. --fotoBERNAMA
KUCHING: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kementerian itu akan mengadakan pertemuan dengan semua pengendali platform media sosial di Singapura bulan depan.
Beliau berkata pertemuan itu dibuat susulan tindakan syarikat induk Facebook iaitu Meta Platforms yang menurunkan hantaran laporan berita oleh media di Malaysia mengenai pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyah di Qatar pada 13 Mei lepas.
"Jadi pertemuan ini adalah bagi memberi penegasan mengenai beberapa perkara termasuk prinsip kebebasan media yang harus diberi kerjasama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini hari ini.
Fahmi berkata tindakan Meta adalah tidak wajar kerana syarikat itu sepatutnya lebih cakna mengenai perkara tersebut.
"MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) juga telah menghantar surat kepada pihak Meta untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #Singapura #Facebook #media sosial
;