Fahmi ingatkan pengamal media jaga aib, adab dalam pelaporan berita
Bernama
Oktober 12, 2024 07:10 MYT
Oktober 12, 2024 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan pengamal media di negara ini agar menyampaikan sesuatu pelaporan berita dengan mengambil kira aspek kemasyarakatan termasuk menjaga aib, batas dan adab.
Fahmi berkata teguran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada media pada khutbah Jumaat Selangor berkaitan liputan keterlaluan isu perceraian personaliti terkenal, Nur Fazura dan Fattah Amin baru-baru ini perlu diberi perhatian.
"Nasihat ini terpakai bila-bila masa bukan hanya dalam isu seperti ini. Tidak menjadi masalah untuk media membuat pelaporan tetapi pada masa yang sama media perlu mendidik dan memupuk satu sikap dalam kalangan rakyat.
"Itulah sebab kita berharap secara umumnya media memainkan peranan menyampaikan pelaporan dengan mengambil kira aspek-aspek kemasyarakatan, sebagai contoh etika kewartawanan dalam melaporkan tentang kanak-kanak dalam sesuatu kes jenayah, kita tidak boleh dengan begitu sewenang-wenangnya memaparkan wajah mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Lembah Pantai di IWK Eco Park di sini malam tadi.
Fahmi berkata pada hari isu perceraian pasangan itu dilaporkan, beliau dapati lima daripada tujuh hingga lapan surat khabar yang beliau langgan setiap hari, memaparkan berita sensasi itu pada muka hadapan.
Sehubungan itu, beliau menasihati pengamal media agar melakukan pelaporan dengan lebih beretika demi Malaysia yang lebih baik kerana respons masyarakat terhadap sesuatu isu juga bergantung kepada pelaporan media.
JAIS menerusi khutbah Jumaat bertajuk "Kukuhkan Ikatan Perkahwinan, Elakkan Penceraian" semalam, menegur media agar menghormati privasi pasangan selebriti berkenaan susulan penularan berita yang meluas tentang perceraian mereka.
Menurut khutbah itu perceraian bukanlah sesuatu yang harus digembar-gemburkan kerana ia merupakan satu pengalaman yang sangat peribadi, pahit dan menyakitkan.
Oleh itu, media seharusnya berperanan dalam membina masyarakat yang positif dan sihat, bukan memburukkan keadaan.
-- BERNAMA