Fahmi gesa agensi berkaitan ganding bahu didik masyarakat berkaitan keselamatan siber
Bernama
Jun 18, 2023 00:30 MYT
Jun 18, 2023 00:30 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi berkaitan diseru berganding bahu dan bekerjasama memberi pendidikan mengenai keselamatan siber kepada masyarakat terutama golongan belia serta warga emas supaya mereka tidak menjadi mangsa penipuan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata usaha membendung isu penipuan perlu dilakukan agar masyarakat dan golongan muda mampu mendepani cabaran dunia digital.
"Program Jom Digital @ Lembah Pantai: Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi Digital dan Keterhubungan bertujuan memberi pendedahan serta kesedaran kepada komuniti setempat dan golongan belia agar lebih peka serta prihatin terhadap isu penipuan dalam kalangan masyarakat yang kian membarah.
"Pelaksanaan program ini diharap dapat memberi pelbagai manfaat dan kebaikan kepada peserta dan masyarakat setempat," katanya ketika berucap pada majlis penutupan program anjuran Yayasan Digital Malaysia itu yang berlangsung di Perumahan Pantai Permai di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika mengendali akaun media sosial dan tidak sewenang-wenangnya memuat turun aplikasi mudah alih daripada sumber yang tidak dikenali.
"Saya lihat warga penduduk cukup terkejut bila mereka sendiri melihat bagaimana telefon mereka boleh digodam hanya berdasarkan kepada aplikasi yang dimuat turun secara pengimbasan.
"Saya berharap mereka mendapat kesedaran baharu dan seterusnya mengelak daripada menjadi mangsa godam atau penipuan," katanya.
Seorang penduduk, Aishah Sulaiman, 70, berterima kasih atas penganjuran program itu yang memberi kesedaran kepadanya.
"Saya tinggal dengan kakak sahaja di sini, jadi sebelum ini (kami) amat bimbang mendengar kes orang kena tipu dan sebagainya, tambah lagi tiada orang ajar... dengan program ini, yakin sedikitlah kami layari Internet," katanya.
Kamal Ahmad, 18, pula bersyukur kerana program percuma yang diadakan di perumahan itu memberi kefahaman yang lebih jelas kepadanya mengenai jenis penggodaman dan penipuan.
"(Baru-baru ini) memang banyak mendapat panggilan telefon mencurigakan... nasib baik saya tidak pernah jatuh ke perangkap penipu. Program ini banyak menambah ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan siber," katanya.
-- BERNAMA