Fahmi Fadzil akur usul tergempar ditolak
Rahimah Abdullah
November 29, 2018 15:19 MYT
November 29, 2018 15:19 MYT
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akur apabila usul tergempar untuk membincangkan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield ditolak.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati apabila kenyataan penerangan dibuat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin dan disusuli kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat.
"Saya menerima ditolak usul. Mereka telah mencapai objectif asal usul tergempar memandangkan sudah mendapat jawapan daripada menteri," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof menolak usul berkenaan melalui satu surat yang dikeluarkan hari ini.
Usul itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membincangkan isu berkenaan.
Peraturan itu memperuntukkan mana-mana Ahli Parlimen boleh mencadangkan penangguhan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara membabitkan kepentingan awam.
Dalam kenyataan itu, Mohamad Arif menjelaskan, usul berkenaan tidak perlu disegerakan kerana siasatan sedang dilakukan dan pihak berwajib sedang mengambil tindakan.
Fahmi dan Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) telah menghantar usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membincangkan isu berkenaan pada Isnin.