Fahmi doakan kesembuhan Salahuddin

Bernama
Julai 22, 2023 13:16 MYT
Fahmi mendoakan kesembuhan segera buat Salahuddin (foto) yang baru selesai menjalani pembedahan susulan pendarahan otak. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendoakan kesembuhan segera buat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang baru selesai menjalani pembedahan susulan pendarahan otak.
"Saya mendoakan afiyah buat Datuk Seri Salahuddin Ayub yang baru selesai pembedahan. Semoga cepat sembuh," katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.
Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembedahan ke atas Salahuddin yang mengalami pendarahan otak, telah selesai pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Salahuddin sedang menerima rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam pengawasan pasukan perubatan HSB.
Terdahulu, Syakirin memaklumkan menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #Salahuddin Ayub #unit rawatan rapi #pendarahan otak
;