Fahmi dilantik jurucakap kerajaan

Bernama
Januari 31, 2023 18:28 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilantik sebagai jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan untuk berhadapan dengan media.
Perkara itu disahkan oleh Fahmi hari ini yang menurutnya, dalam mesyuarat Kabinet dua minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan supaya beliau dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bertindak sebagai wakil atau jurucakap bagi kerajaan terutama ketika berdepan dengan pihak media.
Fahmi berkata sidang media selepas mesyuarat Kabinet setiap Rabu akan dikendalikan beliau sekiranya perdana menteri tidak dapat hadir.
"Mana-mana minggu, sebagai contohnya Perdana Menteri tidak dapat anjurkan sidang media mingguan, maka saya dan KKD akan usahakan," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan KKD di sini hari ini.
Fahmi berkata antara peranan sebagai jurucakap kerajaan adalah, pihak media boleh merujuk kepadanya untuk mendapatkan kepastian terhadap isu-isu yang perlu mendapatkan pengesahan.
"Ini bagi memastikan kementerian atau menteri yang tepat untuk dirujuk bagi mendapatkan maklum balas," katanya.
Fahmi berkata KKD juga akan berbincang dengan badan penyiaran bagi menyediakan maklumat terperinci dan menyeluruh tentang aktiviti kerajaan yang dijangka disiarkan minggu depan dalam slot berita.
"Pelbagai maklumat yang disampaikan oleh kementerian dan agensi namun tiada penegasan kepada kepada pencapaian dan kejayaan yang dilakukan," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya di perhimpunan itu Fahmi berkata, agensi KKD seperti Jabatan Penerangan Malaysia (Japen), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu membantu kerajaan untuk memberi penjelasan tentang konsep Madani.
"Intipati (Madani) itu lebih dari slogan tetapi hasrat yang dibawa kerajaan," katanya adalah penting untuk KKD memainkan peranan untuk meneliti, menterjemah dan mengolah apa maksud Madani kepada rakyat.
Mengenai pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, Fahmi berkata bukan sahaja Nurul Izzah, tetapi kerajaan pimpinan Anwar juga telah melantik beberapa individu sebagai penasihat termasuk Tan Sri Mohd Hassan Marican.
"Istilah penasihat itu jelas kerana mereka tidak akan menyentuh mengenai dasar, tiada punca kuasa termasuk memanggil mesyuarat serta tidak dibayar gaji," katanya.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #jurucakap kerajaan #Anwar Ibrahim #mesyuarat Kabinet
;