Fahmi bincang cabaran sektor kurier bersama pemain industri

Bernama
Mac 15, 2023 18:51 MYT
Sektor kurier memang menghadapi beberapa cabaran dan kebanyakannya berkenaan kos operasi yang dikatakan sebagai keadaan tidak kompetitif. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mengadakan pertemuan bersama pemain industri kurier bagi berbincang dan memahami secara mendalam cabaran yang dihadapi sektor itu.
Beliau berkata cabaran yang dihadapi pemain industri kurier sangat berbeza sebelum dan selepas gelombang "E-Commerce".
Menerusi catatan di Facebooknya, Fahmi berkata, sesi meja bulat tersebut turut disertai pasukan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Insya-Allah beberapa kajian dan libat urus akan dijalankan sebelum beberapa keputusan diumumkan," katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar sesi meja bulat tersebut.
Sebelum ini, Fahmi dilapor berkata KKD akan bertemu pemain industri kurier pada Rabu (hari ini), antara lain bagi merungkai langkah penambahbaikan ke arah mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pemain industri itu.
Menurutnya sektor kurier memang menghadapi beberapa cabaran dan kebanyakannya berkenaan kos operasi yang dikatakan sebagai keadaan tidak kompetitif.
-- BERNAMA
#kurier #Fahmi Fadzil #E-dagang #persaingan
;