Fahmi bagi 'hint' kerajaan umum peruntukan untuk keselamatan siber
Hasimi Muhamad
Februari 23, 2023 12:20 MYT
Februari 23, 2023 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi 'hint' atau petunjuk akan menerima peruntukan khusus dalam Belanjawan 2023 bagi memperkukuhkan keselamatan siber dalam negara.
Tanpa memperincikan dengan jelas, menterinya, Fahmi Fadzil berkata perkara itu diharap diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan belanjawan yang dijadual esok.
"Insya-Allah kita harap dapat diumumkan oleh YB Tambun, adalah penekanan pihak kerajaan tentang aspek keselamatan siber dimana saya lihat ada keperluan bagi agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri mempertimbangkan dan memperuntukan (untuk keselamatan siber) daripada sejumlah yang mungkin ada dari segi belanjawan tahun ini terutamanya (membabitkan) teknologi.
"Ia bagi tujuan keselamatan data dan perlu ada satu penyelarasan dari segi undang-undang," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang mahu tahu apakah tindakan baru yang sedang dan akan dilakukan oleh kementerian bagi meningkatkan tahap keselamatan siber.
Mengulas lanjut, Fahmi (PH-Lembah Pantai) berkata aspek penting yang turut diberi tumpuan ialah melibatkan dasar kriptografi bagi memastikan ketirisan data dan penggodaman dapat dielakkan dengan mempertingkatkan tahap encryption sesuatu data.
Selain itu, beliau berkata kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Suruhanjaya Keselamatan Siber bagi menangani segera isu kerentanan keselamatan siber.
Jelas beliau, suruhanjaya tersebut misalnya akan merangkumi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia serta badan-badan lain.
"Dari segi keselamatan data peribadi, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) sedia ada tidak mencukupi dan ini satu perkata yang sedang diteliti untuk memastikan semua pemegang data, tidak kira kerajaan negeri atau pihak swasta memahami bahawa prinsipnya, data adalah khazanah negara yang bukan saja perlu dipertahankan tapi juga diguna pakai dengan selamat," katanya lagi.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari.
Pada 20 Disember lepas, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Mini Bajet 2023 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Akauntabiliti) 2022.