Fahmi ajak orang ramai tonton filem 'Anwar: The Untold Story'

Bernama
Mei 9, 2023 12:00 MYT
Fahmi berkata secara peribadi beliau berasa sebak melihat paparan perjalanan hidup Anwar yang dipertontonkan dalam filem tersebut. -Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengajak orang ramai menonton filem biopik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, "Anwar: The Untold Story" yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei ini.
Menerusi catatan di Facebook, Fahmi berkata secara peribadi beliau berasa sebak melihat paparan perjalanan hidup Anwar yang dipertontonkan dalam filem tersebut.
"Melihat semula perjalanan penuh liku Datuk Seri Anwar dimainkan membuatkan kami semua sebak, apatah lagi ahli keluarga beliau yang menonton.
"Saya sarankan rakan-rakan untuk turun ke pawagam pada 18 Mei ini untuk saksikan tayangan hari pertama filem ini," katanya yang menonton tayangan perdana filem berkenaan semalam.
Filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu antaranya dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan aktres Indonesia, Acha Septriasa sebagai isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.
Selain di Malaysia, filem yang membabitkan kos RM10 juta itu turut menjalani penggambaran di Indonesia.
-- BERNAMA
#Fahmi Fadzil #Anwar Ibrahim #Anwar The Untold Story #Viva Westi
;