Fahami perbezaan penguatkuasaan di antara TEMCO dan EMCO

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 10, 2020 06:39 MYT
DR KHOR: TEMCO, kawasan yang dikawal memang sangat bersasar dan lebih kecil kalau dibandingkan dengan EMCO. -Astro AWANI
Keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran, TEMCO dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD atau EMCO masih dalam kajian.
Pakar Perubatan dan Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng memaklumkan ia memerlukan masa untuk memahami keberkesanan dua penguatkuasaan tersebut namun pada masa sama, rakyat perlu mengetahui perbezaan antara TEMCO dan juga EMCO.
"TEMCO, kawasan yang dikawal memang sangat bersasar dan lebih kecil kalau dibandingkan dengan EMCO.
"Yang kedua, perbezaan SOP. Kawasan TEMCO lebih ketat seperti kuarantin rumah 28 hari seperti di Perlis buat masa sekarang atau jangka masa perniagaan kalau dibenarkan beroperasi adalah lebih singkat dalam TEMCO berbanding EMCO.
"Yang ketiga penguatkuasaan yang lebih ketat lebih rapi dalam kawasan TEMCO berbanding EMCO.
"Dan keempat ujian COVID atau kegiatan KKM lebih rapi dan mantap," ujarnya.
Beliau pada masa sama mengakui kelalaian dan kealpaan rakyat adalah satu masalah rumit untuk diselesaikan kerana normal baharu akan ambil masa yang sangat lama untuk diterapkan.
Juteru, kerajaan mempunyai insentif atau sebab untuk melabur lebih banyak tenaga dan penyelesaian yang lebih komprehensif untuk menangani maslaah tersebut.
Selain itu, tegasnya, semua pemimpin di Malaysia harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan dalam mematuhi SOP dan menjalankan penguatkuasaan undang-undang agar ia tidak menimbulkan keraguan di segenap lapisan masyarakat.
"Pengamalan penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten ini akan melumpuh atau melemahkan perlawanan antara COVID dengan kita kerana tiada kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh kerajaan dan pemimpin Malaysia", ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mewakili pihak di bidang kesihatan menyeru semua pemimpin Malaysia untuk bertindak dengan lebih bertanggungjawab dan menunjukkan teladan yang lebih baik untuk sama-sama melawan COVID-19.
#COVID-19 #EMCO #kealpaan rakyat #Khor Swee Kheng #penguatkuasaan undang-undang #PKPD #Sivagangga #TEMCO
;