Fahami panduan khidmat perayauan untuk elak kejutan bil
Bernama
Ogos 3, 2018 14:36 MYT
Ogos 3, 2018 14:36 MYT
Jemaah haji Malaysia diingatkan untuk memahami panduan penggunaan perkhidmatan perayauan antarabangsa bagi mengelak kejutan bil telefon yang tinggi selepas kembali ke tanah air, kata Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).
CFM dalam kenyataan hari ini juga menyarankan agar pengguna mengambil langkah berhati-hati jika ingin menggunakan data internet semasa berada di luar negara dengan mendapatkan maklumat lanjut tentang harga dan pakej perayauan yang disediakan penyedia perkhidmatan.
"CFM menyedari jemaah haji merupakan antara pengguna telekomunikasi yang ingin terus berhubung dengan keluarga apabila berada di Makkah," kata CFM.
Pengerusi CFM Mohamad Yusrizal Yusoff berkata antara langkah yang perlu diambil adalah tidak menggunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit jika jemaah tidak biasa dengan tetapan telefon yang perlu diubah sebaliknya menggunakan kad sim antabangsa yang dijual di Malaysia atau membeli kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi.
Jemaah juga boleh menyahaktifkan "sambungan automatik ke rangkaian" dan menukar kepada mod "Airplane" serta hanya menggunakan sambungan Wi-Fi untuk berhubung dengan menggunakan aplikasi seperti "WhatsApp Call/ Video Call", katanya.
CFM ditubuhkan pada Februari 2001 sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi industri dan pengguna menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.
-- BERNAMA