Fahami kontrak sosial, hormati perlembagaan negara - Tengku Abdullah
Bernama
September 25, 2017 07:59 MYT
September 25, 2017 07:59 MYT
Masyarakat pelbagai kaum di negara ini perlu memahami kontrak sosial dan menghormati perlembagaan negara yang sedia termaktub sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Baginda bertitah hanya dengan cara itu rakyat di negara ini mampu mengekalkan keharmonian dan keamanan walaupun mengamalkan cara hidup dan agama yang berbeza.
"Kita hidup berbilang kaum, Malaysia telah berjaya kerana kita faham memahami dan hormat menghormati antara satu sama lain dan ia juga disebabkan kita ada satu kontrak yang dinamakan sebagai kontrak sosial dan perlembagaann.
"Memang tidak dapat dinafikan dari semasa ke semasa kita mempunyai masalah, namun hanya masalah yang sedikit itu, (adakah) kita (sanggup) merosakkan sistem dan keamanan yang sedia ada," titah baginda pada majlis menghadap oleh belia-belia Tionghoa Pahang di sini, pada Isnin.
Baginda juga menyeru rakyat pelbagai kaum terus kekal menghormati dan taat setia pada insitusi diraja di negara ini.
"Kita baharu sahaja menyambut bulan kemerdekaan baru-baru ini, dan sebagai rakyat kita mesti terus hormat pada raja dan institusi diraja dalam masa yang sama akan terus menjalinkan hubungan baik dengan rakyat untuk memberikan lebih banyak manfaat tanpa mengira bangsa dan agama," titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah baginda akan mengadakan lebih banyak program pertemuan dengan belia termasuk kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli bagi mendengar sendiri aspirasi mereka.
"Saya mahu mendekatkan diri dengan golongan belia dan di Pahang sahaja mengikut rekod terdapat seramai 680,000 golongan muda. Tetapi agak menyedihkan apabila lebih separuh daripadanya tidak mempunyai pekerjaan.
"Jadi saya berharap dengan pertemuan seperti ini kita dapat mendengar permasalahan atau cadangan-cadangan yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan untuk lebih ramai golongan belia," titah baginda.
-- BERNAMA