Fahami kehendak, kunci kembalikan keyakinan belia terhadap demokrasi - Undi18

Madiha Abdullah
Disember 12, 2020 12:02 MYT
Ahli politik perlu memahami masalah yang dialami belia terutama jika mereka mahu mempersiapkan diri untuk pilihanraya akan datang. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Keyakinan golongan belia yang semakin berkurangan terhadap sistem demokrasi sebenarnya didorong oleh pelbagai faktor.
Di Malaysia, situasi pandemik yang melanda ketika ini, ditambah dengan pergolakan politik, memburukkan lagi keadaan.
Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri berpendapat, satu cara pantas yang boleh dilakukan untuk mengembalikan keyakinan belia adalah dengan merealisasikan polisi gaji minimum mengikut konteks setempat.
"Belia atau graduan yang baru tamat belajar dan bekerja di Kuala Lumpur, tak boleh ada gaji minimum yang sama macam belia di luar bandar kerana kuasa membeli dan kos hidup tidak sama.
"Dalam situasi pandemik, ahli politik perlu memahami masalah yang dialami belia terutama jika mereka mahu mempersiapkan diri untuk pilihan raya akan datang.
"Dengan Undi18, belia akan jadi blok terbesar dalam PRU akan datang dan sekiranya ahli politik tidak prihatin, mereka akan ada masalah untuk menang.
"Tidak sukar pun sebenarnya, jika mereka ada komunikasi dengan golongan belia, mereka akan tahu apa yang kita mahu," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.
Dalam masa yang sama, Qyira menegaskan keperluan untuk anak muda tidak terlalu bergantung harap kepada ahli politik atau mereka yang memegang kuasa, sebaliknya membuktikan suara yang mereka sendiri miliki mampu membawa perubahan.
"Kerana itu penting kepelbagaian dalam perwakilan politik atau pembuat polisi.
"Bukan belia sahaja, kalau tak cukup golongan-golongan lain seperti wanita, Orang Asli atau Orang Kelainan Upaya (OKU), akan ada masalah juga.
"Cabaran anak muda sekarang adalah untuk memastikan bagaimana untuk buktikan kita ada nilai untuk dipertimbangkan sebagai pembuat polisi dan bagaimana nak bersuara mewakili komuniti sendiri.
"Nak harapkan Ahli Parlimen sahaja, susah sebab sistem demokrasi kita berteraskan parti politik dan sukar anak muda nak pecahkan glass ceiling ini," ujarnya.
Sentimen sama dikongsi oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha yang mahu anak muda memberi fokus terhadap melakukan perubahan, termasuk dalam memastikan komposisi seimbang dalam kerajaan.
"Jurang generasi adalah punca kenapa ramai anak muda tidak puas hati. Kita tidak diberi ruang untuk bersama dengan golongan senior melakukan perubahan dan terlibat dalam pembuatan dasar di peringkat tertinggi.
"Kita perlukan komposisi seimbang antara junior dan senior di Parlimen, berganding bahu membina negara.
"Golongan senior tetap diperlukan untuk memberi bimbingan, bukan yang menjerit-jerit di Parlimen tetapi yang berhikmah dan boleh bantu anak muda jadi pembuat dasar yang baik," katanya.
Sebelum ini, satu kajian oleh Pusat Masa Hadapan Demokrasi di Universiti Cambridge mendapati generasi milenium yang berusia 18 hingga 24 tahun menunjukkan penurunan yang ketara dalam minat dan kepercayaan terhadap sistem demokrasi.
Menurut laporan kajian yang diterbitkan Oktober lalu, perkara itu disebabkan oleh wujudnya jurang ketidaksamaan di antara generasi.
Beban hutang yang tinggi, kemampuan memiliki rumah, serta cabaran memulakan rumah tangga sambil bergantung kepada harta ditinggalkan keluarga, berbanding dengan bekerja keras dan mengharapkan bakat, turut menjadi faktor generasi belia hari ini kurang gembira.
#Belia #sistem demokrasi #pilihan raya #Qyira Yusri #Undi18 #pergolakan politik #gaji minimum
;