Fahami keganasan pasangan intim, cari formula penyelesaian - Nurul Izzah

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 24, 2021 20:50 MYT
Formula penyelesaian efektif kepada isu ini hanya dapat dicapai sekiranya punca kepada tindakan keganasan ini dapat difahami. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Isu keganasan pasangan intim (IPV) tidak boleh dikesampingkan daripada statistik keganasan melibatkan wanita dan kanak-kanak yang direkodkan di negara ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata formula penyelesaian efektif kepada isu ini hanya dapat dicapai sekiranya punca kepada tindakan keganasan ini dapat difahami.
Jelasnya, ia termasuk memahami penderitaan, perbezaan senario sosial dan domestik yang menjadi sebab tindakan keganasan ini boleh berlaku.
"Jika kita tidak mahu statistik keganasan ini tidak terus meningkat, saya menggesa semua kementerian seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitkan untuk mengiktiraf IPV, masukkan kategori itu dalam statistik dan mengenal pasti punca kematian.
"Langkah awal ini penting sebagai asas kepada kita untuk membangunkan pendekatan ideal dan penyelesaian efektif dalam mewujudkan sebuah negara yang lebih baik, selamat dan adil kepada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Forum Keganasan Pasangan Intim (IPV).
Forum secara maya anjuran Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menampilkan beberapa panel terkemuka dan pakar dalam isu IPV seperti Perunding Gender UNFPA Malaysia, Dr. Rita Reddy; Pengarah Advokasi dan Timbalan Pengarah Eksekutif Women's Aid Organisation (WAO), Ren Chung Yu dan Pengasas Bersama StandUp Malaysia (S.U.M), Rheanne Wong.
Sumber Facebook UNFPAMalaysia
Mengikut statistik PDRM dari 2019 sehingga Mei 2021, sejumlah 1,708 kes bunuh diri direkodkan dengan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki.
Daripada jumlah itu, kes bunuh diri melibatkan golongan remaja berusia 15 hingga 18 tahun adalah 872 kes, diikuti 668 kes melibatkan individu berusia 19 sehingga 40 tahun.
Malah, sejak Januari sehingga April tahun ini, sejumlah 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan.
Selain itu, sejak tahun lalu, lebih daripada 5,200 kertas siasatan dibuka oleh PDRM melibatkan kes keganasan rumah tangga.
#Nurul Izzah #keganasan rumah tangga #keganasan pasangan intim #bunuh diri #IPV #UNFPA
;