Fahami kaedah dan syarat dalam ilmu falak agar tidak keliru

Astro Awani
Mac 22, 2023 00:26 MYT
Untuk melihat anak bulan, pihak yang diberi tanggungjawab akan menunggu hingga hilal terbenam. - Gambar Astro AWANI/Mohd Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ilmu falak merupakan ilmu yang melibatkan pergerakan alam dan objek di langit yang mempunyai hukum dan syaratnya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan, Shahrin Ahmad perkara itu perlu difahami oleh masyarakat agar tidak terkeliru tentang kaedah melihat anak bulan.
Shahrin menjelaskan, aspek hukum dan syarat perlu diketahui untuk berhujah tentang kaedah melihat anak bulan.
"Benda itu penting kita kena faham, yang terlibat dalam ahli jawatankuasa falak ini ada dalam semua pihak dan bidang.
"Kita bukan hanya ahli falak sahaja, bukan teknikal sahaja dan bukan pakar hukum sahaja, kita mengambil kira semua.
"Kita bermesyuarat setahun 2-3 kali bagi memastikan nampak atau tidak nampak, cukup syarat atau tidak cukup syarat, kita ambil kira semua faktor," katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Fahami kaedah dan syarat ilmu falak agar tidak terkeliru
Sementara itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan, Muhammad Daud Mahdzir menjelaskan dalam usaha untuk melihat anak bulan, pihak yang diberi tanggungjawab akan menunggu hingga hilal terbenam.
"Maknanya, walaupun hujan berlaku kita tetap menunggu hingga hilal terbenam kerana hujan ini juga tidak menentu.
"Kita pun tidak pasti mungkin dia boleh berhenti secara tiba-tiba dan langit menjadi cerah barangkali ada peluang boleh nampak.
"Jadi usaha kita tunggu sehingga bulan terbenam, selagi belum terbenam makna kita masih lagi menunggu dan mencerap," katanya.
Muhammad Daud menjelaskan, sekiranya anak bulan kelihatan di mana-mana lokasi mencerap, ia akan terpakai di seluruh negara.
#Cerapan #kaedah cerapan #Ramadan #Astronomi
;