Fahami al-Quran, jalin hubungan baik sesama manusia - PM Anwar
Madiha Abdullah
Ogos 19, 2023 23:17 MYT
Ogos 19, 2023 23:17 MYT
KUALA LUMPUR: Salah satu tanggungjawab dalam menterjemahkan idea Malaysia Madani adalah untuk mengangkat martabat umat Islam dan negara ke peringkat yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mampu dilaksanakan jika usaha untuk memahami al-Quran diberikan keutamaan, terutama dalam aspek memahami apa itu Islam dalam konteks sebuah negara berbilang kaum.
Jelas perdana menteri, kefahaman terhadap konteks tersebut konsisten dengan apa yang diajar dalam agama Islam sendiri.
"Kita akui sebagai satu negara pelbagai kaum kita tetap akan menyantuni dan memberi jaminan keadilan, keselesaan hidup bagi semua, jaminan dan terus mengulangi bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan.
"Kita akan terus mempertahankan akidah, kita akan terus menegakkan kesucian agama dan mempromosikan Islam dan menyediakan pendidikan dan sokongan yang mencukupi untuk latihan, untuk memahami Islam, dan melaksanakan program Islam dan pembaharuan Islam.
"Tetapi pada masa yang sama, kita tegas bahawa negara ini, atas nama ummah, akan melindungi hak setiap rakyat termasuk bukan Islam, Kristian, Hindu atau Buddha di negara ini," katanya.
Tambahnya, Islamofobia bukan sahaja hasil daripada kejahilan dan kedangkalan kelompok barat, tetapi ia juga lahir dari ketidakfahaman terhadap al-Quran.
"Saya sebut perbenturan idea antara kuasa melampau anti-Islam yang dikenali sebagai Islamofobia hari ini, dan tindakan yang menggunakan kaedah yang sangat melampau dan fanatik atas nama mempertahankan Islam.
"Tetapi dalam satu cara, ia telah menjatuhkan nama dan maruah Islam, kerana kecenderungan untuk melakukan tindakan keganasan," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Sabtu.
Pertandingan tahun ini membabitkan 76 orang peserta dari 52 buah negara, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos depan.