Fadlun, Presiden Perbadanan Putrajaya baharu

Bernama
Jun 10, 2022 19:36 MYT
Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun, umum Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Fadlun, 55, yang sebelum ini Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) PPj menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, bermula 15 Disember tahun lepas (2021).
Pelantikan Fadlun sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj yang ke-7 itu adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536], katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahidan berkata dengan pengalaman 22 tahun di PPj, memberi kelebihan kepada Fadlun untuk mengemudi PPj atas kapasiti pengetahuan dan kemahirannya yang luas, selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar perancangan di Putrajaya.
"Saya percaya dengan pengalaman serta daya kepimpinan dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau berupaya memperkasakan lagi tadbir urus dan menerajui Perbadanan Putrajaya, untuk terus cemerlang ke arah mencapai Putrajaya Bandaraya Pentadbiran Mampan Bertaraf Dunia," katanya.
Shahidan turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan, kecemerlangan serta khidmat bakti Muhammad Azmi sepanjang berkhidmat sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj dari 1 Okt 2020 hingga 15 Dis 2021.
Sementara itu, Fadlun yang turut hadir dalam sidang media khas oleh Shahidan mengenai pelantikan tersebut di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata terdapat beberapa perkara yang akan diberi tumpuan olehnya.
Antaranya adalah menyegerakan pembinaan 10,000 rumah mampu milik di Putrajaya, berikutan permintaannya semakin meningkat.
"Ada 10 tapak yang telah kenal pasti dan akan disegerakan pembinaannya. Selepas mengadakan perbincangan, kita akan membuat majlis pecah tanah bagi pembinaan 2,500 unit rumah mampu milik pada akhir bulan ini," katanya.
Selain itu, Fadlun turut berharap agar impian PPj untuk menjadikan Putrajaya sebagai 'Bandar Mesra Belia' tercapai, melalui pelbagai penganjuran aktiviti belia termasuk menyegerakan pembangunan 'Soccer City' melibatkan antaranya pembangunan stadium bola sepak, pusat latihan bola sepak kebangsaan serta padang komuniti di Presint 4.
-- BERNAMA
#Fadlun Mak Ujud #Presiden PPj #Pengerusi Perbadanan Putrajaya #Kementerian Wilayah Persekutuan #Shahidan Kassim
;