Fadillah terajui kementerian baharu, hal-ehwal Sabah, Sarawak

Bernama
Disember 12, 2023 14:11 MYT
Fadillah, yang merupakan timbalan perdana menteri pertama dari blok Borneo, dipertanggungjawabkan dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof diberi portfolio baharu dalam rombakan Kabinet hari ini, untuk menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media mengumumkan barisan Kabinet baharu itu di sini hari ini berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam adalah kementerian baharu pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Anwar berkata Fadillah, yang merupakan timbalan perdana menteri pertama dari blok Borneo, dipertanggungjawabkan dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak.
"Kerana kita menjadikan urusan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai urusan Jemaah Menteri secara langsung dan kebertanggungjawaban saya dan Fadillah, maka tidak diadakan menteri urusan Sabah dan Sarawak. Ini akan diuruskan sendiri oleh timbalan perdana menteri (Fadillah)," kata beliau.
Portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal-Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas sebelum ini disandang Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan juga sebelum ini memangku jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas dan dalam rombakan Kabinet hari ini, dilantik sebagai menteri penuh portfolio berkenaan.
Fadillah sebelum ini memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.
Dalam rombakan Kabinet hari ini, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumumkan mengisi jawatan tersebut.
-- BERNAMA
#kabinet malaysia #rombakan kabinet #Kabinet Kerajaan Perpaduan #Fadillah Yusof
;