Fadillah tekad pikul mandat pengerusi rundingan Sarawak - Petronas dengan penuh tanggungjawab

Bernama
Mei 8, 2020 04:35 MYT
FADILLAH: Ini adalah berita baik yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak. - Gambar fail
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menganggap pelantikannya sebagai pengerusi bersama dalam proses rundingan di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai mandat yang akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat malam, beliau menghargai keprihatinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap rakyat dan negeri ini untuk menyelesaikan urusan minyak, gas dan cukai jualan produk petroleum di antara Kerajaan Negeri dan Petronas.
"Seperti diumumkan Perdana Menteri penyelesaian itu akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk penglibatan bersama dalam pembangunan industri minyak dan gas bersama Petronas di negeri berkenaan, tanpa mengubah peranan Petronas sebagai syarikat minyak negara," kata Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) itu.
Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan Fadillah dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai pengerusi bersama sebuah jawatankuasa rundingan di antara kerajaan Sarawak dan Petronas bagi menyelesaikan urusan berkaitan minyak, gas dan cukai berkenaan.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas dalam satu kenyataan bersama yang turut dikeluarkan pada Jumaat menyatakan mereka telah mencapai persetujuan dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.
Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pendekatan yang terbaik dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata persetujuan penyelesaian secara rundingan yang dicapai di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak ini merupakan hasil kesepakatan kepimpinan pusat di bawah Muhyiddin dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di peringkat kepimpinan negeri.
Menurutnya ia juga adalah manifestasi betapa kerajaan yang memerintah negara ketika ini, baik di peringkat Persekutuan, mahupun di peringkat negeri Sarawak, sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
"Ini adalah berita baik yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak, selari dengan hak-hak Sarawak seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.
-- BERNAMA
#cukai #Fadillah Yusof #jawatankuasa rundingan #kerajaan #Ketua Menteri #MA63 #minyak dan gas #pelaburan #pengerusi bersama #Perjanjian Malaysia 1963 #Petroliam Nasional Berhad #Petronas #rakyat #rundingan #Sarawak
;