Fadillah, Nanta doakan Salahuddin diberi kesembuhan

Bernama
Julai 22, 2023 11:00 MYT
Salahuddin dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam tadi selepas mengalami mual dan muntah-muntah. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendoakan agar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang disahkan mengalami pendarahan otak, dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT.
Menerusi ciapan di Twitter, Fadillah mendoakan semoga segala urusan Ahli Parlimen Pulai itu dipermudahkan.
"Saya mendoakan semoga dipermudahkan segalanya dan semoga @MyDSA_official (akaun Twitter rasmi Salahuddin), YBM (Yang Berhormat Menteri) @KPDN_HQ dikurniakan Allah SWT kesembuhan...Aamiin," menurut ciapan itu.

Saya mendoakan semoga dipermudahkan segalanya dan semoga @MyDSA_official YBM @KPDN_HQ dikurniakan Allah SWT kesembuhanAamiin pic.twitter.com/2VtdPEuMvs

— Fadillah Yusof (@PetraJayaMP) July 22, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu Setiausaha Akhbar Salahuddin, Nur Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan Salahuddin disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Menurut kenyataan itu, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Turut mendoakan kesembuhan buat Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
"Saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya mendoakan agar YB Datuk Seri Salahuddin Ayub cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan," kata Nanta dalam catatan di Facebook.
Sementara itu, di Johor, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketika mendengar berita itu beliau berpendapat Salahuddin yang nampak sihat sebelum ini cuma kepenatan susulan kerap turun pandang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Semoga beliau segera sembuh,” kata Naib Presiden UMNO itu yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Jaafar Albar, Kota Tinggi, hari ini.
Di Kelantan, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata parti itu akan terus memantau tahap kesihatan Salahuddin dari semasa ke semasa, sambil menambah bahawa keterlibatan beliau pada PRN akan datang, belum dapat diputuskan kerana ia bergantung tahap kesihatannya.
"Alhamdulillah, sekarang ini dia (Salahuddin) sedang berehat di hospital, Insya-Allah kembali pulih dan stabil.
"Untuk PRN kita akan pantau dia setiap masa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Projek Kelompok Tanaman Jagung di Kampung Paloh, di Tanah Merah.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #Salahuddin Ayub #Fadillah Yusof #pendarahan otak
;