Fadillah minta komuniti terima dana SejaTi MADANI laksana program dengan baik

Bernama
November 9, 2024 06:45 MYT
Timbalan Perdana Menteri Fadillah berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura SejaTi MADANI Peringkat Daerah Kabong berjumlah RM8,397,110 yang melibatkan 88 program.
BETONG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta komuniti yang menerima dana Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) agar memastikan program peningkatan sosioekonomi masing-masing dilaksanakan dengan baik.
Beliau berkata, ini bagi memastikan peningkatan ekonomi dapat dilimpah ke kawasan komuniti masing-masing hasil pemberian dana itu.
"Dengan adanya dana ini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidaklah terlalu kerap memohon peruntukan daripada wakil rakyat dan dengan pendapatan yang dijana melalui dana itu, JKKK dapat memperkembang ekonomi setempat mereka," katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura SejaTi MADANI Peringkat Daerah Kabong berjumlah RM8,397,110 yang melibatkan 88 program.
Antara program terbabit ialah penternakan lembu serta khidmat sewa peralatan pertanian dan peralatan pengurusan majlis.
Fadillah juga berkata, jumlah terbanyak permohonan dana itu yang diluluskan ialah dari Kabong.
Beliau berkata, jumlah permohonan itu menunjukkan bahawa komuniti di Kabong memahami fungsi serta kepentingan program yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap apa yang dilaksanakan mampu merubah wajah daerah berkenaan pada masa akan datang. - BERNAMA
#SejaTi Madani #Sejahtera Komuniti MADANI #terima dana #Fadillah Yusof
;