Fadillah ketuai delegasi ke UK, hadiri London Climate Action Week 2024
Astro Awani
Jun 22, 2024 08:50 MYT
Jun 22, 2024 08:50 MYT
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke United Kingdom dalam sesi lawatan kerja rasmi pada 23 hingga 27 Jun 2024.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dijangka menghadiri London Climate Action Week 2024 dan akan menyampaikan ucaptama dalam sesi High-Level Dialogue on Coal Phase-Out, atas jemputan Kerajaan United Kingdom.
Kementerian tersebut dalam kenyataan pada Sabtu menjelaskan penyertaan Fadillah ke sesi High-Level Dialogue ini cukup penting bagi mengetengahkan perspektif Malaysia dan juga negara sedang membangun dalam usaha peralihan tenaga.
"Pendirian Malaysia agar peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara adil dan saksama, termasuk dalam aspek coal phasing-out penting untuk diketengahkan di forum antarabangsa seperti London Climate Week.
"Ini kerana keperluan pembangunan ekonomi di negara-negara sedang membangun juga perlu diambil kira dalam aspirasi perubahan iklim dan peralihan tenaga global yang diterajui negaranegara maju.
"Oleh itu, adalah penting supaya pendirian serta pelan tindakan negara untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik melalui peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu kepada sekurang-kurangnya 70% menjelang tahun 2050.
"Ini termasuk komitmen untuk tidak membangunkan loji jana kuasa arang batu diketengahkan agar ia boleh dijadikan acuan peralihan tenaga yang adil dan saksama bagi negara-negara sedang membangun," jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, Fadillah juga dijangka akan mengadakan lawatan teknikal ke Projek loji jana kuasa angin Vantage RE PLC, pertemuan dengan International Hydroelectric Association (IHA) dan lawatan teknikal ke kemudahan rawatan air mentah dan air kumbahan milik Wessex Water, iaitu syarikat perkhidmatan air dan pembentungan di Bath, Barat London, yang dimiliki YTL Power International Berhad.
Semasa berada di United Kingdom, Fadillah juga dijadualkan akan bertemu dengan diaspora Malaysia di London bagi berkongsi mengenai usaha dan inisiatif pembangunan terkini negara, terutamanya dalam aspek peralihan tenaga.