Fadillah dijadual adakan pertemuan dua hala di Beijing

Bernama
November 15, 2023 20:52 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala pada bahagian kedua lawatan rasminya ke China. - Gambar fail/Astro AWANI
BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala pada bahagian kedua lawatan rasminya ke China.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi kini dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke China bermula 12 hingga 19 Nov yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti komoditi, terutamanya dalam mempromosikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.
Beliau dijangka bertemu dengan Naib Premier China Ding Xuexiang dan Liu Guozhong serta Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China Yu Jianhua.
Fadillah juga dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Tang Renjian, menghadiri sesi pertemuan dengan pelajar Malaysia di Beijing dan mengambil bahagian dalam sesi penglibatan bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia.
Beliau juga dijangka bertemu dengan diaspora Malaysia di Beijing selepas menyantuni diaspora Malaysia di Shanghai pada 12 Nov lepas.
Terdahulu ketika di Shanghai pada Selasa, Fadillah menyaksikan majlis penganugerahan sijil MSPO untuk syarikat China, Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa, dengan nilai RM26.46 bilion, peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.
Delegasi Malaysia akan berlepas dari Beijing ke Kuala Lumpur pada 19 Nov.
-- BERNAMA
#Timbalan Perdana Menteri #Fadillah Yusof #pertemuan dua hala di Beijing #Lawatan rasmi ke China
;