Fadillah akan jumpa KKDW selesai isu bekalan air luar bandar Sarawak, Sabah

Bernama
Julai 6, 2024 04:15 MYT
Fadillah menyampaikan replika Lesen B2 kepada Sharifah Hanis Syed Muhammad Fauzi pada Majlis Penutupan Program Bantuan My Lesen Kelas B2 bagi Peringkat Parlimen P.194 Petra Jaya di Masjid Al-Abyad Matang Jaya pada Sabtu. - Foto BERNAMA
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi membincangkan isu projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak dan Sabah.
Beliau berkata pertemuan itu adalah untuk mencari penyelesaian kepada isu berkaitan air seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2 yang dikeluarkan pada 5 Julai lepas.
"Saya akan meneliti laporan audit itu dan kerana ia melibatkan Sabah dan Sarawak yang berada di bawah tanggungjawab saya, saya akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian yang terlibat.
"Kita akan mengenal pasti masalahnya dan mencari jalan bagaimana kita boleh selesaikannya. Yang menjadi keutamaan saya ialah untuk kita pastikan projek yang tergendala dapat disiapkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bantuan My Lesen Kelas B2 di sini pada Sabtu.
Menurut laporan itu, gangguan bekalan di Sarawak dan Sabah yang tidak ditangani dengan baik menyebabkan penduduk luar bandar di kedua-dua negeri masih tidak dapat menikmati air bersih dan terawat.
Laporan itu menyebut secara keseluruhannya, projek BALB Sarawak dan Sabah tidak mencapai objektif yang telah ditetapkan.
-- BERNAMA
#LKAN #BALB #penduduk luar bandar #laporan audit
;