FaceTime bantu pelajar PT3 raih semua A
Adie Sufian Zulkefli
Disember 13, 2018 15:41 MYT
Disember 13, 2018 15:41 MYT
Kecanggihan teknologi pada era kini banyak dilihat memberikan kesan buruk akibat salah guna kemudahan tersebut terutama golongan muda.
Tetapi tidak bagi dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (SMKSA), Alor Setar di mana mereka menjadikan aplikasi FaceTime sebagai alternatif untuk mengulang kaji pelajaran sehingga memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada Khamis.
Menurut Nur Syaza Edrina Mahamad Zaki, 15, beliau menggunakan kaedah ulang kaji berkumpulan menggunakan FaceTime untuk membincangkan soalan yang diberi guru.
"FaceTime ini selalunya bincang homework yang cikgu bagi. Selalunya pakai lepas Isyak, kadang-kadang dua tiga jam jugalah bincang sampai pukul 11 macam tu, dalam tiga ke empat orang macam tu, mula sejak awal tahun lagi berbincang macam tu," kata Nur Syaza Edrina.
Bagi rakannya, Sofea Irdenna Annuar, komitmen yang diberikan semua rakannya ketika mengulang kaji melalui FaceTime memberi impak positif sehingga beliau turut memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Jelasnya, kesemua mereka memiliki kelebihan dalam subjek yang berbeza, namun sedia mengajar rakan lain terutama dalam subjek sukar seperti Sains dan Matematik.
"Selalunya buat empat orang, memang semua orang bagi komitmen yang sama. Kalau macam yang ni tak faham Sains, ada yang tolong. Masing-masing ada kemahiran sendiri," kata Sofea Irdenna.
Sementara itu, waris kedua-dua pelajar tersebut menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan pencapaian anak-anak mereka dalam Ujian PT3.
Walaupun agak janggal pada awalnya melihat tindak-tanduk anak mereka seperti bercakap sendirian di dalam bilik, namun jelas jika teknologi digunakan dengan sebaiknya, ia mampu memberi manfaat yang besar.
"Kadang kadang saya pelik, dia duduk dalam bilik cakap macam ada orang lain dalam bilik dia tapi sebenarnya melalui FaceTime.
"Saya pun biar saja. Memang dengar butiran perbincangan mereka itu tentang pelajaran, jadi saya tak kisahlah," kata Annuar Mohd Saad, bapa Sofea Irdenna.
Bagi Rogayah Hasan, penggunaan telefon bimbit banyak membantu pembelajaran anaknya.
"Berbanding generasi abangnya dulu, hanya bergantung kepada tuisyen.
"Tuisyen dia pun tak banyak pergi, tapi dia banyak luangkan masa dalam bilik berbincang dengan kawan-kawan," kata Rogayah.
#Annuar Mohd Saad
#facetime
#Nur Syaza Edrina
#PT3
#Rogayah Hasan
#Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma
#SMKSA
#Sofea Irdenna