Facebook, YouTube bantu 'Mat Salleh' berpidato dalam Bahasa Melayu
Astro Awani
Ogos 8, 2015 08:59 MYT
Ogos 8, 2015 08:59 MYT
Pertandingan Pidato Bahasa Melayu 2015 yang berlangsung minggu ini menjadi platform yang menghimpun peserta dari beberapa buah negara daripada pelbagai benua.
Tahun ini, 71 peserta dari benua Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia, Eropah, Afrika dan Ocenia menyertai pertandingan bagi merebut Piala Perdana Menteri.
Terdapat tiga kategori dipertandingkan dengan 10 peserta mengambil bahagian dalam kategori Alam Melayu, 40 peserta kategori Antarabangsa dan 21 peserta bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.
Selain menjadi platform bagi peserta menunjukkan kepetahan berpidato dan kefasihan mereka dalam bahasa Melayu, pertandingan ini juga membuktikan Bahasa Melayu mempunyai pengaruh yang besar di luar rantau Nusantara.
Bagi Shehabaddin Galal Hari Ghilan, pelajar Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang berasal dari Yaman, pergaulan bersama masyarakat setempat banyak memudahkan beliau untuk fasih dalam bahasa Melayu.
Namun beliau turut berdepan cabaran pada mulanya kerana kesukaran memahami dialek negeri-negeri yang berbeza.
“Sebutan itu memang berbeza sedikit, macam orang Perlis lain, Kelantan berbeza pula, Terengganu lain, memang susah”, kata beliau ketika ditemu bual dalam program Analisis AWANI pada Jumaat.
Peserta Antarabangsa dari Ukraine berkongsi pengalaman bagaimana media sosial banyak membantu mereka menguasai Bahasa Melayu.
Tetiana Zabozhchuk yang pernah melanjutkan pelajaran di Yogyakarta, Indonesia selama enam bulan mengakui perbualan menerusi Skype dan komunikasi di Facebook membantu beliau untuk mengasah kemahiran bahasanya.
Bagi Johshua Parfitt, peserta dari United Kingdom berkata kunjungannya ke Malaysia tahun lalu selain pergaulan bersama rakan-rakan yang fasih berbahasa Melayu di United Kingdom banyak mencambahkan minatnya untuk mempelajari bahasa Melayu.
Malah untuk menyiapkan teks pidatonya bagi pertandingan ini, Parfitt turut menjadikan video di portal Astro AWANI sebagai rujukannya selain menonton video-video berbahasa Melayu di YouTube.
Mereka turut mengakui budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai turut menarik minat peserta mempelajari bahasa Melayu.
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2015 bertemakan "Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” adalah satu acara tahunan pidato bahasa Melayu terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia.
Pusingan akhir pertandingan ini akan dilangsungkan Sabtu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.