Facebook medium jual beli hidupan liar - Kajian TRAFFIC

Tan Su Lin
Mac 4, 2016 08:05 MYT
Kira-kira 300 hidupan liar, sebahagian besarnya dalam kategori spesis yang dilindungi, didagangkan melalui laman sosial Facebook hanya dalam tempoh 30 minit setiap hari. -foto Facebook
Kira-kira 300 hidupan liar, sebahagian besarnya dalam kategori spesis yang dilindungi, didagangkan melalui laman sosial Facebook hanya dalam tempoh 30 minit setiap hari.
Penemuan mengejutkan itu hasil pemantauan oleh badan bukan kerajaan (NGO), pemantau perdagangan hidupan liar, TRAFFIC bagi tempoh lima bulan dari November 2014 hingga Mac 2015 dengan kajian mendapati, kesemua hidupan liar itu didagangkan bagi dijadikan binatang peliharaan.
Menurut Pengurus Projek TRAFFIC Southeast Asia, Kanitha Krishnasamy, daripada 14 kumpulan Facebook yang dipantau, 80 spesies didagangkan, dengan sebahagian besar spesis yang memiliki status "Dilindungi Sepenuhnya" di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
"Haiwan yang paling popular dan terancam sebenarnya ialah 'slow loris' atau kongkang. Ia adalah spesis yang sememangnya popular untuk perdagangan di beberapa negara di Asia Tenggara. Kami mendapati kongkang antara yang popular dijual dalam 14 Facebook group yang dipantau. Ada juga yang ingin membeli anak beruang."
"Ada juga nak beli Ploughshare Tortoise dan Radiated Tortoise. Kedua-dua spesis kura-kura ini hanya boleh ditemui di Madagascar. Ini bermakna wujud juga aktiviti mengeksport hidupan liar ini. Jadi timbul persoalan dari manakah penjual ini mendapat stok-stok haiwan liar ini?" katanya.
Kebanyakan kumpulan yang dipantau adalah "Tertutup" (atau Closed) iaitu hanya ahli sahaja yang dapat memerhati aktiviti kumpulan.
Sepanjang tempoh kajian, terdapat seramai 67,532 pengguna yang aktif dalam 14 buah kumpulan berkenaan, di mana salah satu daripada kumpulan tersebut mempunyai lebih daripada 20,000 ahli.
Tinjauan kami ke atas salah satu kumpulan Facebook (yang terbuka) mendapati aktiviti jual beli menerusi medium berkenaan cukup aktif dengan post terbaru dinaik muat, adalah 10 minit lepas (ketika tinjauan dilakukan).
Namun penemuan lebih mengejutkan kami adalah kebanyakan hidupan liar yang dijual masih belum matang.
"Ini adalah membimbangkan kerana kalau hidupan liar belum matang dijual, maksudnya ia telah diambil daripada ibunya dan hidupan liar yang masih bayi ini kebarangkaliannya untuk 'survive' tanpa jagaan ibunya memang sukar. Kebarangkalian untuk haiwan itu mati juga tinggi," kata Kanitha.
Kajian itu turut menunjukkan tahap perdagangan luar biasa melibatkan 18 spesis mamalia asal Malaysia, didorong oleh permintaan sebagai haiwan peliharaan, koleksi oleh pengumpul atau stok pembiakan.
Antara spesis tersebut termasuklah Beruang Matahari, Helarctos malayanus, Kongkang Nycticebus, coucang, Ungka Tangan Putih, Hylobates lar dan Memerang Licin, Lutrogale perspicillata serta melibatkan antara 83 hingga 101 ekor haiwan.
Perdagangan haiwan-haiwan berkenaan adalah dilarang sama sekali di Semenanjung Malaysia.
#binatang peliharaan #didagang di Facebook #hidupan liar #spesis dilindungi #traffic
;