Facebook lubuk iklan judi, 224,403 kandungan diturunkan sejak 2022 - Fahmi
Umavathi Ramayah
Februari 13, 2025 15:05 MYT
Februari 13, 2025 15:05 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,026 laman sesawang perjudian telah disekat, manakala 224,403 kandungan berkaitan perjudian dalam talian di platform media sosial diturunkan sejak tahun 2022 hingga 1 Februari lalu.
Ringkasan AI
- Sebanyak 5,026 laman sesawang perjudian telah disekat, manakala 224,403 kandungan berkaitan perjudian dalam talian di platform media sosial diturunkan sejak tahun 2022 hingga 1 Februari lalu.
- Sebanyak 93.14 peratus daripada kandungan yang diturunkan adalah dari platform Facebook, menjadikannya platform utama bagi aktiviti promosi perjudian dalam talian.
- MCMC komited memberikan kerjasama kepada PDRM dalam penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang, serta bantuan teknikal dan analisis forensik digital untuk mempercepatkan siasatan berkaitan kesalahan perjudian dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata sebanyak 93.14 peratus daripada jumlah kandungan yang diturunkan itu, iaitu 209,006 kandungan adalah dari platform Facebook, menjadikannya antara platform utama bagi aktiviti promosi perjudian dalam talian.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.
"Ia adalah selaras dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berhubung langkah diambil untuk membanteras aktiviti judi dalam talian semakin berleluasa termasuk usaha pemantauan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan internet serta platform digital.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC di bawah bidang kuasa Akta 588 komited memberikan kerjasama kepada PDRM daripada segi penurunan kandungan media sosial.
"Selain itu, sekatan laman sesawang dan bantuan teknikal seperti pembekalan maklumat dan analisis forensik digital turut dibuat bagi mempercepatkan proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan perjudian dalam talian," ujarnya.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, kebanyakan pengendali platform media sosial memberikan kerjasama yang baik sejak penetapan permohonan lesen dilaksanakan.
Bagaimanapun, ada platform yang masih berlengah dalam usaha menurunkan iklan berkaitan judi haram.
"Sejak kita memulakan proses dan rejim perlesenan ini kita dapati banyak platform memberikan respon berbeza, ada yang sangat bersedia untuk memberi kerjasama, ada yang culas dan memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan proses.
"Secara umum, dalam platform seperti YouTube kita dapati iklan judi juga banyak disiarkan dari 1 Januari hingga tengah malam tadi sebanyak 5,167 kandungan dipohon untuk diturunkan dan 5,115 yang YouTube sudah turunkan.
"Bermaksud Google pada waktu ini belum dilesenkan tapi kerjasama yang mereka berikan sangat baik berbeza dengan Telegram yang mana secara keseluruhan hanya 39 peratus permintaan diuruskan," katanya lagi.