Facebook dan Twitter platform calon pemilihan promosi diri
Aizat Sharif
Oktober 12, 2013 23:31 MYT
Oktober 12, 2013 23:31 MYT
Pemilihan UMNO pada kali ini dianggap begitu ‘rigid’ terutamanya dalam kesukaran calon-calon yang bertanding untuk mempromosikan diri mereka dalam keadaan agak suntuk, namun kepesatan media sosial seperti Facebook dan Twitter membuatkan mereka menggunakan platform ini mempromosikan diri mereka kepada para perwakilan.
Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad berkata meskipun terdapat kesukaran dari segi masa untuk calon-calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini untuk memperkenalkan diri mereka secara terbuka, platform media sosial seperti Facebook dan Twitter sebenarnya telah menjadi pelantar kepada mereka dalam memperkenalkan diri mereka.
“Kita dapat lihat poster-poster calon ini begitu banyak sekali terdapat dalam laman social Facebook dan Twitter dan pada masa yang sama juga, kita juga boleh melihat ‘background’ calon-calon ini menerusi carian Google dan juga blog-blog yang terdapat dalam Internet dan ini merupakan platform alternative yang dapat menampilkan diri mereka kepada perwakilan yang akan memilih mereka,” kata Wan Mohd Firdaus.
Tambah Wan Mohd Firdaus lagi, banyak perubahan boleh dilakukan dalam menjadikan pemilihan UMNO sebagai platform terbaik dalam memperkenalkan calon-calon terbaik
“Banyak perubahan boleh dilakukan dan daripada komen-komen pelbagai ahli-ahli politik yang berpengalaman atau ‘senior’ juga berpendapat agar diadakan debat dimana calon-calon boleh memperkenalkan diri dan memperkenalkan idea dan polisi mereka dengan lebih baik,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Kepimpinan dan Strategik Malaysia (YKSM) Dr Yahya Mat Hasan yang menjadi tetamu dalam rancangan yang sama juga berpendapat peraturan yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Disiplin UMNO menyebabkan terdapat kecenderungan perwakilan yang memegang jawatan politik kini begitu ‘cuba-cuba’ untuk menjadi aktivis dalam mempromosikan diri kepada perwakilan yang akan memeilih mereka semula dalam pemilihan ini.
Kedua-dua mereka menjadi tetamu dalam program Analisis AWANI terbitan Astro Awani petang tadi.
Seramai 70,000 perwakilan sayap Pemuda UMNO, 110,765 perwakilan Wanita UMNO dan 50,000 perwakilan Puteri UMNO akan membuang undi dalam pemilihan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada Sabtu.