'Face shield' belum ada bukti klinikal, namun sekurang-kurangnya ada perlindungan
Astro Awani
Ogos 10, 2020 18:21 MYT
Ogos 10, 2020 18:21 MYT
Belum ada bukti klinikal yang menunjukkan penggunaan pelindung muka (face shield) dapat mencegah jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, hanya pelitup muka (face mask) terbukti mampu memutuskan penularan virus itu dengan sokongan penjarakan fizikal.
Bagaimanapun, pemakaian pelindung muka adalah lebih baik daripada tidak memakai apa-apa alat pelindung diri langsung.
"Kita boleh menggunakan face shield tetapi kita tiada lagi bukti-bukti klinikal yang mengatakan ia dapat mencegah (penularan COVID-19) tetapi ia dapat mencegah sekurang-kurangnya kita ada perlindungan menggunakan face shield.
"Untuk face mask kita ada bukti mengatakan kita dapat memutuskan jangkitan COVID-19 iaitu lebih kurang 60 ke 65 peratus, kalau kita boleh tambahkan dengan penjarakan fizikal, kita boleh memutuskan peratus jangkitan COVID-19. Jadi lebih baik memakai face shield dari tidak memakai langsung," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Tambahnya, ketika ini terdapat banyak jenis pelitup muka sama ada untuk perubatan dan bukan perubatan.
Bagi mereka yang tidak berdepan dengan kes COVID-19, mereka digalakkan menggunakan pelitup fabrik yang mempunyai tiga lapisan.
"Pelitup muka untuk perubatan termasuk N95 digalakkan digunakan di ICU dan wad COVID-19. Barisan hadapan KKM dan kementerian lain digalakkan menggunakan pelitup muka tiga lapisan.
"Jadi untuk yang lain, kita galakkan guna pelitup muka fabrik sekurang-kurangnya tiga lapisan. Ia untuk mereka tidak berdepan kes COVID-19," ujarnya lagi.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#ICU
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Media
#Noor Hisham Abdullah
#perubatan
#Putrajaya