Ezam: Kerajaan transformasi perlu pertahankan rakyat bawahan

Irwan Muhammad Zain
Disember 19, 2013 14:43 MYT
Senator Ezam Mohd Noor
Sebuah kerajaan trasnformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya lebih tangkas menangani masalah disamping mempertahankan kedudukan rakyat bawahan, kata Senator Ezam Mohd Noor.
"Kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju mesti lebih efisien dan canggih dalam merungkai masalah, bukan dengan jalan mudah menaikkan tarif dan minta rakyat tanggung beban," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya kerajaan sepatutnya menumpukan usaha membanteras ketirisan, rasuah dan rundingan perjanjian berat sebelah yang terlalu menguntungkan golongan korporat.
Ezam juga berkata, sebagai anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau juga pembasmian gejala itu menjadi tumpuan utama.
"Ia rumit berbanding keputusan naikkan harga tarif. Tetapi itulah tanggungjawab kerajaan yang menggelar dirinya kerajaan transformasi," katanya.
Dalam kenyataan itu juga Ezam mendesak pimpinan kerajaan mengambil langkah tegas untuk memeprebetulkan beberapa penggubal dasar dalam kerajaan yang menurutnya mengambil langkah mudah menaikkan tarif elektrik untuk menyelesaikan "masalah mereka" tetapi membebankan rakyat.
#Ezam Mohd Noor #penggubal undang-undang #tarif elektrik
;