Exco 'spot check' pantau harga, kualiti makanan kantin sekolah
Aida Aziz
Julai 8, 2022 08:10 MYT
Julai 8, 2022 08:10 MYT
IPOH: Kunjungan dan pemeriksaan mengejut di sekolah-sekolah di negeri ini sudah dilaksanakan sejak April lalu, khusus untuk memantau kualiti dan harga makanan yang disediakan kepada pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata pendekatan unik itu digerakkan pihaknya bagi melihat sendiri situasi penyediaan makanan di kantin sekolah terbabit.
Ahmad Saidi berkata, sehingga kini pihaknya sudah membuat pemeriksaan mengejut di 15 buah sekolah yang membabitkan empat daerah di negeri ini.
"Saya sendiri turun padang bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Kita pergi ke kawasan PPD berkenaan.
"Baru-baru ini kita pergi ke Larut Matang dan Selama (LMS) dan turun padang ke tiga buah sekolah iaitu sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas.
"Program yang kita pergi ini, kita tak maklumkan kepada sekolah. Yang tahu hanya Jabatan Pendidikan Negeri Perak, PPD dan Pejabat Exco Pendidikan sahaja.
"Kita pun tak maklumkan kepada PPD sekolah mana yang kita nak pergi. Awal pagi lepas pertemuan di PPD baru kita beritahu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan alatan pemulihan Program Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin 2022 kepada Hasliza Abdul Karim di Persiaran Klebang Selatan, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Cawangan Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pejabat Perkeso Perak, Adibah Mohamed Amin.
Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, hasil tinjauan menerusi pemeriksaan itu mendapati rata-rata sekolah yang terbabit patuh dan mengikut piawaian yang ditetapkan.
"Saya sendiri antara orang yang makan bersama-sama pelajar pada waktu rehat dan merasai makanan dan minuman apa yang mereka jamah.
"Setakat ini kita sangat berpuas hati dengan kualiti makanan yang disediakan kepada pelajar.
"Antara tujuan kita turun padang ini juga adalah untuk elakkan daripada berlaku kes keracunan makanan," katanya lagi.
Justeru, katanya, beliau sudah berbincang dengan Exco Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk turut sama mengembleng tenaga terlibat dalam pemeriksaan itu pada masa akan datang.
"Insya-Allah selepas ini, saya sudah bincang dengan Exco Kesihatan, untuk kita libatkan sekali JKN.
"Sebab, JKN ada prosedur operasi standard (SOP) sendiri. Sekiranya berlaku perkara tidak sepatutnya mungkin pengusaha kantin ini terpaksa dibeku atau diberhentikan serta merta," katanya.