Exco Selangor mohon maaf kejadian penyanyi dakwa dirakam penguat kuasa PBT ketika operasi
Bernama
Disember 9, 2024 14:22 MYT
Disember 9, 2024 14:22 MYT
SHAH ALAM: Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim tampil memohon maaf atas kejadian seorang penyanyi wanita yang mendakwa dirinya dirakam penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) semasa sedang berurut ketika operasi di pusat kecantikan di Subang Jaya baru-baru ini.
Beliau berkata perkara itu mungkin disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang kurang jelas sehingga mengakibatkan salah faham di antara pihak PBT dan penyanyi tersebut ketika operasi dijalankan.
"Apa yang berlaku.. saya dimaklumkan rumah urut tersebut tidak berlesen, saya tidak menyalahkan penyanyi itu dan faham beliau mungkin rasa tercabar dari segi kehormatan peribadi, hak atau sebagainya," katanya pada sidang media khas berkenaan cukai taksiran PBT tahun 2025 di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Ng berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dan akan menyelesaikan perkara berkenaan secara baik dan berhemah bagi mengelak kejadian serupa berulang.
Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti untuk mewajibkan penggunaan kamera badan kepada anggota penguat kuasa PBT, namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan semasa, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam memastikan operasi yang lebih lancar.
Sebelum ini tular rakaman video dimuat naik seorang penyanyi wanita yang mendakwa dirinya dirakam anggota penguat kuasa PBT semasa sedang berurut di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya, dan laporan polis telah dibuat.
-- BERNAMA