Exco negeri Johor, Abd Latif Bandi bercuti mulai hari ini
Astro Awani
Mac 1, 2017 16:11 MYT
Mac 1, 2017 16:11 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi mula bercuti hari ini untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.
Permohonan cuti Abdul Latif yang anak serta pegawai khasnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, diluluskan susulan pertemuan beliau dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday, Abdul Latif mengadakan perjumpaan singkat dengan Mohamed Khaled pada 9.30 pagi di Pejabat Menteri Besar, sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri bermula.
"Dia (bercuti) nak uruskan isu yang ada kaitan dengan keluarga dan pegawai dia," katanya pada sidang media di Bangunan Datuk Jaafar, di sini hari ini.
Katanya lagi, cuti tersebut hanya melibatkan jawatan Abdul Latif dalam kerajaan negeri manakala semua urusan berkaitan portfolionya ditangguhkan sementara.
Md Jais turut menegaskan permohonan cuti itu bukan bermakna Abd Latif terlibat dalam kes berkenaan.
"Dia (Abd Latif) memang tidak disabitkan dengan siasatan atau dakwaan. Kena jelas tu," tegasnya.
Beliau juga berkata isu berhubung rasuah tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco hari ini.
Sebaliknya kata Md Jais Menteri Besar hanya memaklumkan mengenai permohonan cuti Abd Latif.
Jumaat lalu, SPRM bertindak menahan enam individu dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.
Antara enam yang ditahan ialah anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah bernilai Rm15.5 juta itu.
Turut ditahan seorang kontraktor berumur 46 tahun pada Selasa yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan hartanah tersebut.
#Abd Latif Bandi
#anak exco
#Exco Negeri Johor
#Md Jais Sarday
#Mohamed Khaled Nordin
#penyelewengan hartanah di Johor
#SPRM