Exco kecewa majikan 'degil' biar pekerja tidur atas papan

Sinar Harian
Mei 27, 2022 08:50 MYT
Hee Sam melihat pondok kecil yang didiami dua pekerja asing kilang berkenaan. (Gambar kecil: Keadaan tempat rehat pekerja yang kotor dan menjijikkan.)
ALOR GAJAH: Terpaksa tidur beralaskan papan dan memasak dalam bilik kecil, itu antara situasi yang berlaku di sebuah lokasi penginapan pekerja kilang pengeluar telur ayam di Masjid Tanah.
Tindakan majikan yang didakwa tidak berperikemanusiaan termasuk ada di antara pekerja terpaksa tidur tanpa kemudahan lampu serta kipas itu terbongkar selepas Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka melakukan operasi bersepadu 'Ops Rumah Pekerja.'
Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sam berasa kecewa melihat keadaan itu, lebih-lebih lagi majikan tersebut telah diberikan amaran serta peringatan ketika penguat kuasa JTK turun padang sekitar Februari lalu.
Jelasnya, kawasan penginapan juga sangat kotor dan menjijikkan termasuk bilik air daif dipercayai terpaksa dikongsi kira-kira 27 pekerja warga asing lebih 10 tahun lalu.
Katanya, dua pekerja kilang juga didapati tinggal di sebuah pondok kecil dengan tempat tidur yang tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan serta gagal menyediakan almari baju untuk pekerja.
"Kita tidak akan berkompromi kepada majikan yang gagal mematuhi arahan dan bersedia membuka kertas siasatan untuk mengambil tindakan.
"JTK dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka akan sentiasa turun padang untuk memastikan semua rumah penginapan pekerja berada dalam keadaan yang mematuhi arahan," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Pondok daif dan serba kekurangan dijadikan tempat penginapan pekerja asing.
Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan majikan telah menyediakan penginapan baharu namun belum memindahkan pekerja tidak boleh diterima kerana telah diberi tempoh beberapa bulan untuk membuat perubahan.
Ujar beliau, majikan juga didakwa melanggar peraturan di bawah Seksyen,24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) kerana tiada perakuan penginapan selain majikan juga belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut.
"Majikan telah dimaklumkan berkenaan kesalahan yang dilakukan sebelum ini, namun masih gagal patuh dan bila kita datang operasi keadaan masih sama.
"Kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan perundangan sewajarnya," ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian
#pekerja kilang pengeluar telur ayam #Jabatan Tenaga Kerja #Ngwe Hee Sam #Ops Rumah Pekerja
;