Exco jawab isu keretakan di Jambatan Tok Pasai

Sinar Harian
April 15, 2024 15:20 MYT
Mohamad Yusoff berkata, perkara tersebut mungkin baru disedari oleh pengguna sebelum tular di media sosial. -Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menjelaskan keretakan yang berlaku di Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah, dekat sini adalah membabitkan permukaan jalan di sambungan pengembangan dan ia telah lama wujud.
Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, perkara tersebut mungkin baru disedari oleh pengguna sebelum tular di media sosial.
Menurutnya, sambungan pengembangan adalah kawasan di mana dua struktur jambatan dipisahkan secara struktur dan ia tidak bersambung.
"Gambar yang tular di Jambatan Tok Pasai adalah keretakan permukaan jalan di expansion joint (sambungan pengembangan), semakan di tapak keretakan ini telah lama wujud dan mungkin baru disedari oleh pengadu.
"Berdasarkan gambar yang dikongsi, bahagian tepi retakan mempunyai rumput dan pasir menunjukkan ia telah lama dan bukan retakan baharu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Mohamad Yusoff, dalam kerja penyelenggaraan, permukaan jalan di kawasan itu diturap supaya pengguna selesa melaluinya.
Jelasnya lagi, disebabkan jambatan merupakan struktur rasuk yang panjang, berlaku pengembangan dan penguncupan atas faktor cuaca, suhu panas dan sejuk.
"Kawasan expansion joint ini akan sentiasa mengembang dan mengucup dan seterusnya membentuk retakan di kawasan berkenaan," ujar beliau.
Pada Jumaat lalu, seorang pengguna media sosial memuat naik gambar mendakwa Jambatan Tok Pasai berlaku keretakan.
Isu tersebut menyebabkan penduduk tempatan yang sering menggunakan jambatan berkenaan menjadi gusar.
Penduduk bimbang jambatan tersebut akan runtuh kerana menjadi laluan utama termasuk kenderaan berat di Kuala Kedah. -Sinar Harian
#Jambatan Tok Pasai #keretakan pada jambatan #sambungan pengembangan #expansion joint
;