Exco didakwa perlekeh Menu Rahmah

Sinar Harian
Mac 3, 2023 18:18 MYT
Tangkap layar video Hanafiah yang kini tular dalam media sosial. -Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Satu rakaman video yang memaparkan seorang individu dipercayai Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat didakwa memperlekehkan satu hidangan dipercayai Menu Rahmah yang dibeli tular di media sosial pada Khamis.
Berdasarkan video itu, Hanafiah dilihat menjamah hidangan tersebut sambil merungut tentang sayur yang sedikit dan tiada kuah.
“Ikan seekor, sayur, kuah tiada pula...ini kuah dia (sambil menuang air oren ke dalam nasi). Barulah rasa nasi,” katanya dalam video tersebut.
Video berdurasi 18 saat yang tersebar ketika ini turut menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Ada yang menganggap, walaupun cuba memperlekehkan Menu Rahmah namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu sebenarnya telah menghina rezeki.
Bagaimanapun, video asal yang dipercayai dimuat naik dalam akaun TikTok pemimpin itu sudah dipadamkan.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan penjelasan Hanafiah juga gagal apabila dia tidak menjawab panggilan.
Menu Rahmah merupakan inisiatif terbaharu kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan memerlukan untuk membeli makanan seimbang pada harga RM5 ke bawah.
Sebanyak 1,142 pengusaha makanan di seluruh negara kini berdaftar bagi menawarkan Menu Rahmah di premis mereka tidak termasuk restoran makanan segera. -Sinar Harian
#Menu Rahmah #Hanafiah Mat #ADUN Chukai #hina rezeki
;