Ewon saran koperasi ceburi aktiviti perniagaan francais
Bernama
Mac 26, 2023 04:30 MYT
Mac 26, 2023 04:30 MYT
KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyarankan agar setiap koperasi di seluruh negara khususnya di Sabah menceburi aktiviti perniagaan francais.
Beliau berkata, bagi menyokong saranan itu, kementeriannya melalui Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta pada tahun ini dalam pelbagai skim bagi membantu usahawan koperasi francais yang terlibat.
"Koperasi berminat boleh berhubung dengan kementerian atau Pernas untuk mengetahui kemudahan pembiayaan yang telah disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Mart Koperasi Usahaniaga Kota Marudu Berhad di Medan Marudu, di sini, pada Ahad.
Ewon berkata, berdasarkan data hingga Disember tahun lepas, bilangan koperasi yang berdaftar di seluruh negara adalah sebanyak 15,315 koperasi dengan jumlah keanggotaan lebih tujuh juta orang.
Beliau berkata, sejumlah RM16.99 bilion modal syer dan yuran keanggotaan direkodkan koperasi itu, dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM159.9 bilion.
Katanya, di Sabah jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,706 buah dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang, manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220 juta, aset terkumpul bernilai RM826.44 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta.
Sementara itu, Ewon berkata, seramai 62 usahawan telah menyertai program Business in Transformation (BIT) yang mengusahakan pelbagai produk dan lebih 400 usahawan telah mendaftar di bawah produk masing-masing.
"Program BIT adalah satu program transformasi perniagaan untuk para usahawan kecil menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan agar dapat menjana lebih keuntungan dan mengembangkan perniagaan dengan lebih efektif," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuh kerjasama bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan selaras dengan agenda utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan Malaysia MADANI.
"Program keusahawanan yang dilaksanakan agensi-agensi kerajaan Persekutuan di Sabah pada hari ini dengan kerjasama agensi kerajaan negeri membuktikan komitmen besar kerajaan membantu usahawan termasuk di kawasan luar bandar," katanya. - BERNAMA