Ewon beri bantuan segera RM20,000 untuk mangsa banjir di Penampang

Bernama
Jun 30, 2024 23:33 MYT
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick malam ini menyalurkan bantuan segera RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di Penampang. - Foto Facebook Ewon Benedick
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick malam ini menyalurkan bantuan segera RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di Penampang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata sumbangan yang diserah kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) itu bagi membiayai operasi menyelamat mangsa banjir dan keperluan lain di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang di sini.
Beliau berkata situasi banjir yang berlaku di daerah ini berikutan hujan lebat berterusan sejak 1.30 tengah hari tadi telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya juga telah memaklumkan penangguhan taklimat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan penggantian saya untuk temu bual dengan BERNAMA malam esok," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Selain memantau situasi kawasan banjir dengan kenderaan pacuan empat roda, Ewon meluangkan masa melawat pusat kawalan bencana dan PPS itu bersama Pegawai Daerah Penampang Francis Chong merangkap Pengerusi JPBD Penampang.
"Beberapa jalan utama Penampang tidak dapat dilalui. Bekalan elektrik terputus di beberapa kampung dan kawasan perumahan. Tanah runtuh juga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui.
Pertembungan air laut pasang dengan air sungai juga antara sebab limpahan air besar banjir ini.
"Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir. Bagaimanapun, operasi ini juga terkesan akibat arus yang kuat. Bersama kita doakan semuanya selamat dan dipermudahkan," katanya.
-- BERNAMA
#banjir Penampang #bantuan segera #Ewon Benedick #mangsa banjir
;