Evolusi perpaduan negara, kami bangga sebagai bangsa Malaysia!

Haikal Raman
Oktober 26, 2022 17:48 MYT
Memahami budaya sesebuah bangsa itu mampu menyemarakkan lagi perpaduan antara kaum. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Evolusi perpaduan masyarakat di negara ini berjaya mencapai kepada kerangka yang kukuh dalam menjadikan kita sebagai sebuah bangsa Malaysia yang harmoni dan sejahtera.
Penyampai Radio RAAGA, Uthaya berkata, meskipun telah berkunjung ke lebih 20 buah negara termasuk India, dia tetap berbangga sebagai rakyat Malaysia dengan kesepakatan yang wujud diantara pelbagai kaum di sini.
“Baru-baru ini saya ada buat penggambaran di India, tetapi mereka di sana melihat saya sebagai rakyat Malaysia dan teruja untuk mengetahui perkembangan isu-isu semasa negara kita.
“Walaupun mereka semuanya berbangsa India, namun terdapat banyak pecahan dalam kalangan masyarakat di sana. Justeru itu apabila balik ke tanah air saya sangat gembira kerana dapat bergaul dengan kaum-kaum yang lain secara harmoni,” katanya.
Uthaya berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam siri Sembang Kita terbitan Astro AWANI dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) baru-baru ini.
Sembang Kita: (Episod 1) Semangat perpaduan, semarak uniti
Dalam pada itu, bekas pemain bowling negara, Syaidatul Afifah bersetuju kepelbagaian makanan tradisi etnik dan kaum di Malaysia dilihat sebagai alat pemangkin perpaduan negara.
“Kalau nak ikutkan makanan kegemaran saya dan keluarga adalah lebih kepada sajian tradisi Cina seperti dim sum selain nasi daun pisang oleh masyarakat India.
“Saya teringat suatu ketika dahulu semasa pergi bertanding mewakili Malaysia, kami satu pasukan … tidak kira bangsa Cina atau India, kami sarapan bersama-sama makan menu nasi lemak dan situasi ini melambangkan kesatuan yang telah terbina,” ujarnya.
Turut berkongsi kisah kebersamaan dan perpaduan, bekas pemain bola jaring negara, Yati Akhtar berkata, memahami budaya sesebuah bangsa itu mampu menyemarakkan lagi perpaduan antara kaum.
“Ada suatu ketika rakan baik saya yang berbangsa India datang tumpang tidur di rumah kerana kami perlu menghadiri sebuah lawatan lapangan… dan pagi itu, dia yang kejut saya untuk menunaikan solat Subuh.
“Malah, ketika berada dalam pasukan negara, jurulatih kami yang berbangsa Cina akan mengejutkan rakan-rakan beragama Islam yang lain untuk bersolat… situasi ini sangat unik dan tidak akan dapat dirasai di negara lain,” jelasnya.
Astro AWANI bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam menghasilkan beberapa siri Sembang Kita bagi menyemarakkan perpaduan negara.
#bangsa malaysia #Perpaduan Negara #kebersamaan bangsa #Astro Awani
;