eVISA bakal realisasi sasaran 32 juta pelancong ke Malaysia tahun ini - PM
Hilal Azmi
Ogos 15, 2017 22:34 MYT
Ogos 15, 2017 22:34 MYT
Program visa elektronik (eVISA) yang diperkenal kerajaan sejak Mac bakal merealisasikan sasaran 32 juta orang pelancong ke Malaysia dengan janaan pendapatan lebih RM118 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak optimis program ini akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pemohon dari negara terbabit.
Katanya, program ini turut mensasarkan pelancong dari India dan China.
"Jumlah pemohon visa dalam kalangan rakyat China contohnya meningkat sebanyak 284,606 orang antara Mac 2016 hingga April lalu, selain 323,173 orang memohon melalui Pendaftaran dan Maklumat Perjalanan Elektronik (eNTRI).
"Bagi tempoh yang sama juga, permohonan visa bagi warganegara India turut meningkat sebanyak 91.1 peratus, iaitu daripada 36,442 visa yang diluluskan pada Mac 2016 kepada 69,635 visa pada April lalu.
"Program eVISA ini bukan sahaja mampu membawa negara ke tahap keselamatan yang lebih tinggi, bahkan telah membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih selamat untuk rakyat, pelancong dan komuniti perniagaan," katanya ketika berucap melancarkan program eVisa dan Pusat Komunikasi eVisa (eVCOMM) pada Selasa.
Ketika ini, permohonan eVISA boleh dilakukan oleh rakyat dari 10 negara iaitu China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Serbia dan Montenegro.
eVISA membolehkan pelancong dan pelajar antarabangsa serta ekspatriat mendapatkan visa ke Malaysia dalam tempoh 48 jam, tanpa perlu ke Pusat Sehenti Setempat atau kedutaan dan konsulat seperti sebelum ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.