EV antara fokus utama kerjasama dua hala Malaysia-China

Astro Awani
April 12, 2023 11:09 MYT
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam temubual eksklusif bersama stesen CGTN ketika lawatan rasmi PM ke China berkata, Malaysia adalah tempat yang tepat untuk menjalinkan hubungan dengan rantaian tenaga hijau tersebut. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hubungan kukuh Malaysia dan China membuka ruang luas untuk Malaysia mengembangkan sektor kenderaan elektrik (EV).
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Malaysia mempunyai kelebihan sektor elektrik dan elektronik selama lebih 50 tahun, manakala China mempunyai kelebihan sektor EV.
Justeru sinergi kerjasama dua negara dijangka membuahkan hasil memberangsangkan khususnya buat Malaysia.
Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama stesen CGTN ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tembok besar itu.
"Malaysia memainkan peranan penting dalam sektor automotif, terutamanya dalam sektor automotif BEV yang merupakan bateri Kenderaan Elektrik.
"Malaysia telah berada dalam industri kejuruteraan elektrik dan elektronik selama 50 tahun dan mempunyai 13 peratus daripada pasaran global untuk pemasangan dan ujian semikonduktor.
"Oleh itu, Malaysia adalah tempat yang tepat untuk menjalinkan hubungan dengan rantaian bekalan tersebut.
"Saya telah berjumpa dengan dua syarikat automotif besar di China yang telah mempunyai kehadiran di Malaysia, satu dengan skala besar dan satu lagi dengan skala kecil, tetapi kedua-duanya sedang merancang untuk melabur lebih banyak terutamanya dalam kenderaan EV.
"Jadi, kita menantikan perkongsian ilmu dan penyelidikan dan pembangunan bersama," katanya
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani komitmen antara pengeluar kenderaan Geely dan DRB Hicom bagi pelaburan di Automobile High-Technology Valley.
2023 menyaksikan tahun ke-10 penwujudan kerjasama strategik komprehensif Malaysia-China.
Hubungan dua negara juga bakal meraikan 50 tahun diplomatik tahun depan.
Malaysia merupakan negara Asean pertama yang mewujudkan hubungan diplomatik dengan China dan antara negara terawal yang memberikan maklum balas berkaitan insiatif belt and road.
#kenderaan elektrik #lestari #tenaga hijau #ekonomi