Euro 2020: 70 individu ditahan dalam judi 'online' libatkan nilai pertaruhan lebih RM44 juta
Astro Awani
Julai 14, 2021 13:39 MYT
Julai 14, 2021 13:39 MYT
JOHOR BAHRU: Seramai 70 individu ditahan hasil 54 serbuan di rumah dan premis dalam Op Soga VIII yang melibatkan ‘bookie’ bola bagi kejohanan bola sepak Euro 2020, serta membabitkan nilai keseluruhan kredit terkumpul pertaruhan sebanyak RM44.2 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi bermula selama sebulan sejak 12 Jun lalu.
Pihaknya turut merampas wang tunai bernilai lebih RM42,000.
Katanya, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berumur 17 hingga 65 tahun termasuk seorang wanita.
“Pertandingan bola sepak ini tak kiralah dulu atau sekarang akan ada (wujud) judi ini. Kalau dulu, tiada aktiviti judi ini yang berpusat, sekarang ada.
“Semua secara online. Ia ada laman web yang disenaraikan iaitu siapa nak bertaruh boleh ke laman web tersebut. Dulu ada tempat (untuk letak pertaruhan), tapi semasa PKP ini semua aktiviti adalah dalam talian,” ujar beliau.
Ayob Khan berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor di Johor Bahru.
Beliau berkata, dalam fasa kedua Op Soga VIII itu, turut dirampas adalah 20 unit telefon bimbit, tiga komputer riba, satu tablet dan satu modem.
Kesemua tangkapan direman dua hingga empat hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3), Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953.
#sindiket
#judi
#online
#ayob khan mydin pitchay
#ketua polis johor
#Euro 2020
#bola sepak
#dalam talan
#serbuan
#bookie'