EUDR: TPM Fadillah temui Ketua Pengarah Alam Sekitar EU pada 28 Jun ini

Bernama
Jun 15, 2023 11:56 MYT
Fadillah memaklumkan, Fink-Hooijer bertanggungjawab meneliti dan merangka penyediaan EUDR secara keseluruhan. - Fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Florika Fink-Hooijer pada 28 Jun ini, bagi membincangkan isu pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR).
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, Fink-Hooijer bertanggungjawab meneliti dan merangka penyediaan EUDR secara keseluruhan.
"Dalam pertemuan di Putrajaya itu nanti, saya akan menegaskan lagi pendirian-pendirian yang Malaysia bawa semasa di Brussels, Belgium selain menjelaskan pandangan negara ini secara khusus terhadap pelaksanaan EUDR," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang bertanya mengenai hasil lawatan kerja ke Eropah dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit serta bantuan segera penoreh dalam menangani musim panas dan penyakit daun yang menjejaskan hasil susu getah.
Selain itu, Fadillah juga menyifatkan Misi Bersama Malaysia dan Indonesia ke EU sebagai berjaya dalam menyampaikan kebimbangan negara pengeluar sawit berkenaan mengenai pelaksanaan EUDR secara kolektif melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Pada masa sama, katanya, respons positif yang diterima daripada misi tersebut juga diharap dapat meleraikan kebimbangan Malaysia dan Indonesia terhadap pelaksanaan EUDR yang dikhuatiri boleh menjejaskan sektor sawit kedua-dua negara.
Sehubungan itu, Fadillah berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus mengadakan libat urus bersama pihak-pihak berkaitan menerusi pelbagai platform bersesuaian supaya mesej yang konsisten dapat disampaikan kepada pihak EU demi mempertahankan industri komoditi negara.
"Ini juga (demi memastikan) kelangsungan hidup mereka yang terkesan, terutama pekebun kecil agar sejajar dengan aspirasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesejahteraan untuk semua," katanya.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #Kesatuan Eropah #penebangan hutan #kelapa sawit #Dewan Rakyat
;