EU perlu henti amalkan diskriminasi terhadap minyak sawit
Bernama
November 15, 2017 08:37 MYT
November 15, 2017 08:37 MYT
Kesatuan Eropah (EU) perlu berhenti mengamalkan diskriminasi terhadap minyak sawit dan menarik balik pengharaman bahan itu dalam biobahan api menjelang 2020, kata United Plantations Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Carl Bek-Nielsen, berkata pengharaman itu memberi kesan negatif kepada para pekebun kecil.
"Bagaimana dengan 16 minyak dan lemak yang lain? Dengan berbuat demikian, Kesatuan Eropah sedang membina lebih banyak halangan perdagangan dan dasar aparteid seperti ini, harus dihentikan," katanya kepada pemberita semasa Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2017 (PIPOC 2017) di sini pada Selasa.
Kesatuan Eropah, pengimport kedua terbesar minyak sawit dunia, menggunakan tujuh juta tan setahun manakala Amerika Syarikat mengimport sebanyak 1.2 juta tan.
"Keseluruhannya sebanyak 8.2 juta tan minyak sawit telah dihantar ke pasaran sensitif tetapi amat penting. Kita tidak boleh mengenepikan pasaran ini dan berharap pasaran lain akan menyerap kuantiti itu, kerana China dan India sendiri pun, tidak mungkin mampu," katanya.
Bagi mendorong kelestarian melalui penanaman kelapa sawit, Bek-Nielsen juga menyeru pengeluar barangan pengguna, peruncit dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memuktamadkan perjanjian urus niaga membabitkan hanya kelapa sawit yang ditanam secara lestari.
Katanya, syarikat-syarikat yang memegang pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari, sekarang ini, menghasilkan 12 juta tan minyak sawit lestari walaupun permintaan untuk minyak jenis itu hanya mencecah setakat enam juta tan sahaja.
"Ini hanya mengikis kepercayaan di kalangan penanam. Pembeli juga perlu menunjukkan komitmen bagi memikul beban, bukan hanya meletakkan beban di bahu penanam," katanya.
PIPOC 2017 yang berlangsung selama tiga hari, bertemakan 'Treasuring the Past, Charting the Future'' merupakan acara yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat
#API
#Carl Bek-Nielsen
#EU
#kelapa sawit
#Kesatuan Eropah
#minyak
#minyak sawit
#PIPOC 2017