EU minat jalin kerjasama dengan Perak jaga alam sekitar

Bernama
Jun 11, 2018 14:02 MYT
AHMAD FAIZAL: Mereka amat berminat untuk terlibat sama dengan usaha yang telah dilakukan berkaitan kelestarian alam sekitar.
Negara Kesatuan Eropah (EU) berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan hutan.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu dinyatakan oleh para duta dan Ketua Misi Diplomatik EU ke Malaysia dalam pertemuan hari ini.
"Mereka amat berminat untuk terlibat sama dengan usaha yang telah kita lakukan berkaitan kelestarian alam sekitar serta hutan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut di sini, hari ini.
Pertemuan selama kira-kira dua jam itu dihadiri 17 duta dan wakil dari EU di Malaysia antaranya Duta Austria Dr Michael Postl; Duta Belgium Daniel Dargent dan Duta Jerman Nikolaus Graf Lamsdorff.
Semua duta dan wakil khas itu berada di sini sempena permukiman Ketua Misi EU yang bermula semalam dan berakhir hujung minggu ini.
Ahmad Faizal berkata pihaknya turut mengambil peluang pertemuan itu untuk menerangkan mengenai peluang pelaburan yang ada di Perak.
Mengenai perubahan kepimpinan, Ahmad Faizal berkata perwakilan berkenaan kagum kerana ia berjalan dengan lancar.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #alam sekitar #Diplomatik #EU #Kesatuan Eropah #Perak
;