EU gesa Rusia terima tanggungjawab tembak jatuh MH17 pada ulang tahun ke-10 tragedi

Bernama
Julai 17, 2024 14:41 MYT
Borrell berkata, bukti jelas menunjukkan bahawa sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara BUK yang digunakan untuk menembak jatuh Penerbangan MH17 adalah milik angkatan tentera Rusia. - FB Council of the European Union
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) mengulangi gesaannya agar Rusia menerima tanggungjawab atas tragedi Penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh 10 tahun lepas dan bekerjasama sepenuhnya dalam menegakkan keadilan.

Ringkasan AI
  • Borrell berkata, bukti jelas menunjukkan bahawa sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara BUK yang digunakan untuk menembak jatuh Penerbangan MH17 adalah milik angkatan tentera Rusia. - Bernama

Memperingati ulang tahun ke-10 MH17 di tembak jatuh di timur Ukraine pada Rabu, Wakil Peringkat Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Josep Borrell berkata, EU mengulangi sokongan penuh untuk semua usaha dalam menegakkan kebenaran, keadilan, dan akauntabiliti, selaras dengan Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Pada 17 Julai, kami mengenang 298 orang yang tidak bersalah, termasuk 80 kanak-kanak, daripada 17 warga negara yang kehilangan nyawa dalam Penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh 10 tahun lepas.
Peringatan 10 tahun ini mengimbau kembali kenangan yang sangat menyakitkan. Kami mengulangi ucapan takziah kami kepada keluarga dan sahabat mangsa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada ulang tahun ke-10 MH17 ditembak jatuh pada Rabu.
Pada 17 November 2022, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga individu kerana peranan mereka dalam menembak jatuh Penerbangan MH17.
Sementara itu, Borrell berkata EU menegaskan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Pasukan Penyiasat Bersama dalam prosiding di hadapan Mahkamah Daerah Belanda, dan dikemukakan kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) dan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), jelas menunjukkan bahawa sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara BUK yang digunakan untuk menembak jatuh Penerbangan MH17 adalah milik angkatan tentera Rusia.
"Tiada operasi maklumat palsu Rusia boleh mengalihkan perhatian daripada fakta asas ini, yang telah ditetapkan oleh mahkamah undang-undang," katanya.
Borrell berkata EU mengambil maklum prosiding yang dimulakan oleh Belanda terhadap Rusia di ECHR, serta prosiding yang dimulakan oleh Australia dan Belanda di hadapan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang merupakan langkah penting ke arah mencapai kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.
Penerbangan MH17 Malaysia Airlines berlepas pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada hari Jumaat, 18 Julai 2014.
Bagaimanapun, pada pukul 10.15 malam (waktu Malaysia) Malaysia Airlines menerima maklumat daripada Kawalan Trafik Udara Ukraine (ATC) bahawa ia kehilangan hubungan dengan Penerbangan MH17 pada pukul 1415 (GMT), pada kedudukan 30 kilometer (km) dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.
Pada 17 Nov 2022, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko selepas mereka didapati bersalah menembak jatuh penerbangan MH17 dan membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal manakala Oleg Pulatov dibebaskan atas pertuduhan yang sama.
Girkin, Dubinsky dan Kharchenko juga diperintahkan membayar lebih daripada 16 juta Euro (RM75.26 juta) sebagai pampasan kepada waris mangsa.
Mahkamah mendapati bahawa MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu BUK buatan Rusia dari ladang pertanian di timur Ukraine, dengan menyatakan bukti yang meluas yang tidak meninggalkan "sebarang kemungkinan keraguan yang munasabah sama sekali".
-- BERNAMA
#MH17 #Rusia #tembak jatuh pesawat #tanggungjawab #EU #Josep Borrell